Bukan masa UMNO bertimpuh dan bertatih lagi

56

11 MEI : Tamatkan percaturan politik peribadi kerana perkara itu hanya menimbulkan masalah dalaman parti.

Demikian ditegaskan Presiden UMNO, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sambil menyatakan sudah  masanya semua ahli bersatu hati demi mengukuhkan parti dan mengubah impian kembali kepada kenyataan.

“Ini bukan masa untuk duduk bertimpuh dan bertatih lagi. Parti ini memerlukan kesinambungan kepemimpinan yang mampu membawanya mencapai matlamat bangsa dan negara.

“Masa depan parti terletak di bahu semua ahli. Sejauh mana kita mampu menyesuaikannya dengan geo-politik negara, kitalah yang mengaturnya,” katanya dalam perutusan sempena Ulang Tahun UMNO ke-74, hari ini .

Kegagalan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 jelasnya harus dijadikan iktibar supaya tidak terus leka dalam memperjuangkan survival orang Melayu dan Islam khususnya.

“Dalam tempoh usia 74 tahun, UMNO sedang meniti usia yang amat matang dan mengerti denyut nadi Melayu dan bangsa lain negara ini.

“UMNO juga amat memahami tuntutan Islam serta kehendak dan keperluan orang-orang Islam. UMNO bukan lagi eksklusif untuk Melayu tetapi telah menyorot perbezaan bangsa dan agama, dari Perlis hingga ke Sabah.

“Namun, kematangan ini tidak seharusnya disambut dengan kealpaan dan terjerat dalam keselesaan. Pilihanraya Umum ke-14 sudah banyak mengajar kita erti perlunya UMNO menggarap harapan setiap rakyat pelbagai kaum.

“UMNO mesti diangkat sebagai pegangan ideologi politik rakyat yang dahagakan kelestarian hidup dan masa depan lebih terjamin,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama Ahmad Zahid turut mengingatkan agar ahli UMNO seluruhnya tidak terlalu mendabik dada setelah menjadi kerajaan hari ini.

Ini kerana UMNO sepatutnya perlu ada kuasa penuh bagi mencantumkan semua aspirasi rakyat dengan menjadikan Melayu sebagai teras pemerintahan dan Islam sebagai tiang serinya.

Tambah Ahmad Zahid, pemerintahan yang kukuh itu sekaligus tidak akan membenarkan parti politik lain terus menipu rakyat dan berkuasa untuk merosakkan negara.

“Meskipun sebelah kaki kita berada di pentas kerajaan hari ini, tidak banyak yang dapat dibanggakan. Penyertaan dan sokongan UMNO hanyalah untuk menamatkan pemerintahan ala politburo dan mengekang berlanjutnya era pemerintahan dinasti di negara tercinta ini.

“Ia turut menamatkan era kegilaan kuasa dan penipuan yang telah membelenggu rakyat selama 22 bulan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.