Angka kes Covid-19 di Jerman meningkat semula

9

11 MEI: Jumlah jangkitan Covid-19 di Jerman kembali meningkat, lapor data rasmi pada Ahad, beberapa hari selepas Canselor, Angela Merkel mengumumkan bahawa negara itu boleh menjadi kembali normal.

Institut Kesihatan Robert Koch (RKI) berkata, kadar reproduksi (R0) Jerman meningkat kepada 1.1, iaitu setiap 10 pesakit Covid-19 akan menjangkiti purata 11 individu lain.

RKI memberi amaran, R0 perlu berada di bawah paras 1 untuk jangkitan kekal berada di bawah kawalan dan semakin berkurangan.

Setakat Rabu lalu, Jerman berada di paras 0.65.

Negara berkenaan bagaimanapun melaporkan kemunculan kluster baharu di rumah penyembelihan dan pusat jagaan warga emas.

RKI juga berkata, adalah terlalu awal untuk membuat rumusan atas apa yang berlaku, namun jumlah jangkitan perlu dipantau rapat untuk tempoh beberapa hari lagi.

Data terkini itu menarik perhatian ramai apabila Merkel pada Rabu lalu mengisytiharkan bahawa Jerman sudah meninggalkan fasa pertama pandemik, serentak dengan pengumuman kerajaan untuk melonggarkan larangan bersosial.

Kebanyakan kedai dan taman permainan kembali dibuka, manakala kanak-kanak juga mula bersekolah, dengan kebenaran diberi kepada restoran, gimnasium serta rumah ibadat untuk beroperasi semula. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.