Yakin pengalaman Idris dapat bantu pemulihan Felda

125

10 MEI: Felda hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Idris Jusoh sebagai pengerusinya yang baru berkuat kuasa 1 Mei lalu hingga 30 April 2022.

Ahli Parlimen Besut itu mengambil alih tugas itu daripada Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang meletak jawatan sebagai pengerusi dan ahli Lembaga Pengarah Felda sebelum ini.

Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar dalam satu kenyataan mengalu-alukan pelantikan tersebut bagi pihak lembaga pengarah, pengurusan, kakitangan dan warga peneroka Felda.

“Kami yakin, dengan pengalaman dan kepimpinan Datuk Seri, usaha pemulihan Felda akan diteruskan dan dipercepatkan,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu Othman juga menzahirkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohd Bakke di atas segala usaha dan sumbangan beliau semasa menyandang jawatan pengerusi Felda.

“Beliau amat komited dalam membawa pelbagai pembaharuan dan strategi pemulihan terutamanya dalam menjayakan pelan transformasi menerusi inisiatif Kertas Putih Felda.

“Komitmen beliau telah memberikan semangat kepada seluruh warga Felda untuk terus berusaha dengan lebih gigih lagi untuk memastikan organisasi ini terus maju dan mencapai pertumbuhan yang stabil dan lestari,” tambahnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.