PKPB disambung sehingga 9 Jun

234

10 MEI: Perintah kawalan pergerakan bersyarat akan dilanjutkan selama 4 minggu lagi sehingga 9 Jun ini.

Kawalan itu sepatutnya tamat pada 12 Mei ini.

Dalam perutusan khas hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah-langkah melawan Covid-19 masih perlu di sebalik pencapaian positif dalam perang melawan koronavirus.

Dengan pengumuman ini, semua tatacara operasi standard akan berkuatkuasa sehingga tarikh baru itu.

Katanya, sebarang perubahan pada SOP akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Mengambil maklum akan pertindihan tempoh kawalan dengan sambutan beberapa perayaan, kerajaan berkata sekatan ke atas perjalanan antara negeri masih berkuatkuasa, namun ziarah dibenarkan dalam negeri dengan had 20 orang pada setiap masa.

“Dalam tempoh ini, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan melibatkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai. Jadi saya nak mengingatkan saudara-saudari tentang larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuatkuasa dalam tempoh ini.

“Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Orang ramai dinasihatkan memakai topeng dan mengamalkan penjarakan sosial, dan jangan terlalu rapat semasa berbual.

Majlis rumah terbuka dianggap tidak perlu, dan pihak berkuasa sedang perhalusi SOP untuk upacara keagamaan yang berkaitan.

“Setiap keluarga hendaklah mematuhi SOP kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung, dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan hand sanitizer sepanjang sambutan perayaan ini.

“Pastikan rumah sentiasa bersih. Basuh pinggan mangkuk, sudu garpu, periuk belanga dan lain-lain selepas digunakan untuk menjamu tetamu yang hadir.

“Kementerian Kesihatan juga menyarankan agar saudara-saudari elakkan daripada berada di tempat yang sesak atau tempat yang tertutup. Kalau nak bersembang dengan tetamu pun, jarak-jarakkan sedikit. Tidak perlulah duduk terlalu rapat,” katanya lagi.

Berhubung solat berjemaah di masjid, termasuk solat Jumaat, Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia sedang memperhalusi tatacara atau SOP
tertentu yang boleh diamalkan oleh para jemaah.

“InsyaAllah, selepas SOP ini dimuktamadkan dan dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja selaku Ketua Agama Islam persekutuan dan negeri-negeri untuk diperkenankan, kerajaan akan mengumumkan kebenaran untuk bersolat jemaah di masjid.

“Saya tahu ramai umat Islam rindu untuk ke masjid, terutamanya untuk
mendirikan solat Jumaat, solat terawih dan solat lima waktu. InsyaAllah,
kita doakan keadaan akan bertambah baik. Tambahan pula telah banyak
kawasan-kawasan hijau di seluruh negara. Dengan pelaksanaan SOP
yang teratur, saya percaya masjid-masjid di kawasan ini telah bersedia
untuk dibuka kepada ahli-ahli kariah. Berikan sedikit masa kepada pihak
berkuasa agama Islam untuk memperhalusi SOP yang berkaitan,” katanya.

Begitu juga dengan gereja dan rumah-rumah ibadat bagi penganut agama
Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan lain-lain, kerajaan kata Muhyiddin akan
mengumumkan SOP tertentu untuk membolehkan saudara-saudari yang
beragama bukan Islam mengerjakan ibadat di rumah ibadat masing-masing.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.