Petronas perlu bayar penuh SST, Sarawak tolak beri potongan

64

10 MEI: Kerajaan Sarawak menolak dakwaan bekas menteri kewangannya, Datuk Seri Wong Soon Koh yang ia bersetuju menerima pengurangan bayaran cukai jualan negeri (SST) daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) ke atas produk petroleum dari negeri itu.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata dakwaan cukai minyak dan gas bagi 2019 serta 2020 yang dijangka berjumlah RM6.775 bilion dikurangkan kepada RM2 bilion tidak benar dan mengelirukan.

“Di bawah syarat penyelesaian itu, Petronas akan membayar sepenuhnya SST kepada kerajaan negeri Sarawak untuk tempoh 2019. Ia berjumlah RM2 bilion, tidak termasuk penalti pembayaran lewat dan faedah terakru daripada jumlah yang dinilai dari tarikh Notis Penilaian sehingga pembayaran penuh dibuat. Jumlah yang tepat masih dalam pengiraan.

“SST untuk 2020 kekal 5% daripada nilai jualan produk petroleum. Hanya Notis Penilaian bagi suku pertama 2020 telah dikeluarkan. Belum ada perjanjian untuk mengurangkan SST bagi 2020,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pembayaran RM2 bilion oleh Petronas hanya untuk SST 2019 dan tidak termasuk SST yang dibayar syarikat minyak lain seperti Shell, Murphy Oil dan Pertamina yang beroperasi di Sarawak.

Jumlah SST yang akan dikumpulkan pada 2020 belum dapat dipastikan.

Semalam, Wong yang juga presiden Parti Bersatu Sarawak (PSB) dalam satu kenyataan mendakwa kerajaan negeri menjangkakan hasil minyak dan gas untuk 2019 dan 2020 berjumlah RM6.775 bilion.

Beliau berkata, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg yang juga menteri kewangan negeri perlu memberi penjelasan lanjut bagaimana kerajaan negeri mengambil kira bajet 2019 dan 2020 berikutan penurunan ketara hasil tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.