Malaysia, AS sepakat berdepan krisis kesihatan

10

9 MEI: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sepakat memastikan kelancaran bekalan peralatan kritikal terutama dalam berdepan krisis kesihatan global.

Ini termasuk usaha sama dalam pembangunan vaksin dan ubat-ubatan serta akses sama rata kepada vaksin COVID-19.

Perkara itu dizahirkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden AS, Donald Trump dalam perbualan telefon malam ini.Muhyiddin berkata, beliau dan Trump turut menekankan kepentingan kerjasama komuniti antarabangsa bagi mengurangkan kesan pandemik ke atas kesejahteraan hidup masyarakat dunia dan ekonomi global.

“Dalam perbualan yang berlangsung selama 30 minit itu, saya dan Trump berbincang mengenai pandemik COVID-19 serta pendekatan yang diambil kedua-dua negara.

“Usaha terbabit termasuk meningkatkan kerjasama dalam pembangunan vaksin dan ubat-ubatan serta akses sama rata kepada vaksin COVID-19 kelak,” katanya menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya.

Katanya, beliau dan Trump juga bertukar pandangan mengenai isu kepentingan bersama dalam konteks mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa.

“Selain mengucapkan tahniah kepada saya dan kerajaan yang baharu, kami menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan kerjasama komprehensif di antara Malaysia dan AS,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.