Kluster baru dikenal pasti di Rembau

167

8 MEI: Tiada korban baru Covid-19 dilaporkan hari ini, mengekalkan jumlah mangsa yang terkorban seramai 107 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata 68 kes jangkitan baru menjadikan keseluruhan mangsa yang dijangkiti 6,535 orang sehingga kini.

4 kes import satu daripada Amerika Syarikat dan tiga lagi daripada United Kingdom.

Manakala 64 kes adalah tempatan iaitu 11 warganegara Malaysia dan 57 warga asing.

“Daripada kes baru itu, 4 kes import dilaporkan.

“Ketika ini, seramai 1,564 pesakit sedang dirawat. Daripada jumlah tersebut, 18 di unit rawatan rapi dengan 7 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian, hari ini.

Noor Hisham berkata 88 pesakit Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad, menjadikan keseluruhan mangsa yang sembuh 4,864 orang sehingga kini.

Sementara mengulas mengenai kluster baru, Noor Hisham memaklumkan pada 2 Mei lalu, KKM telah mengenalpasti satu kluster yang melibatkan warga pekerja di sebuah kilang di Pedas, Rembau.

Ia mula dikesan apabila seorang kakitangan kilang tersebut didapati tidak sihat dan mula mengalami gejala demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit kepala pada 5 April 2020.

Beliau telah mendapatkan rawatan di klinik kesihatan dan saringan ujian Covid-19 dilakukan pada 10 April 2020.

Pada 12 April 2020, keputusan ujian pengesanan disahkan positif.

“Siasatan dan saringan bagi kontak rapat kakitangan tersebut telah dijalankan. Sehingga 8 Mei 2020 jam 12 tengah hari, seramai 786 orang telah disaring yang terdiri daripada pekerja kilang dan ahli keluarga mereka.

“Daripada jumlah keseluruhan ini, 60 kes didapati positif, 286 kes negatif dan 440 orang masih menunggu keputusan,” katanya.

Kes-kes positif kluster ini melibatkan tujuh warganegara Malaysia dan 53 bukan warganegara iaitu:

• 25 kes warga Nepal;
• 18 kes warga Bangladesh;
• Lapan (8) kes warga Indonesia; dan
• Dua (2) kes warga Myanmar.

Punca jangkitan bagi kluster ini masih di dalam siasatan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.