Adakah Speaker khilaf, terang tetapi tidak jelas?

439

8 MEI: Adakah Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof khilaf ketika membuat kenyataan media mengenai keputusan beliau menolak dan menerima beberapa usul termasuk usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri?

Ini kerana Speaker kebiasaannya hanya akan menolak usul di kamar atau pemberitahuan bersurat kepada pembawa usul dengan surat diletak di meja ahli parlimen yang mengemukakan usul.

 Speaker kemudiannya akan memaklumkan keputusan itu di dalam Dewan ketika persidangan.  

Justeru apabila Mohamad Ariff memaklumkan menolak beberapa usul dikemukan Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Shafie Apdal, Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Palimen Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong, melalui kenyataan media, ia tindakan di luar kebiasaan Speaker.

Perkara lain yang menimbulkan tanda tanya kenapa beliau boleh memperincikan usul-usul yang ditolak serta usul yang diterima mengenai undi tidak percaya kepada Ahli Parlimen Pagoh tetapi tidak mendedahkan mengenai dua usul dibawa Vui Keong yang juga diterimanya.

LIEW VUI KEONG

Dalam kenyataan media hari ini, Mohamad Ariff berkata, usul di bawah peraturan Mesyuarat 18 daripada Ahli Parlimen Batu Sapi bertarikh 1 Mei membangkitkan

  1. Mengemukakan resolusi bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mendapat keyakinan majoriti Ahli-Ahli Dewan
  • Mengemukakan resolusi bahawa Dr Mahathir mendapat keyakinan majority Ahli-Ahli Dewan
  • Bahawa persidangan Parlimen selama 1 hari adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Parlimen berhak mengawal selia tatacaranya sendiri, dan tidak terikat dengan mana-mana peraturan terutama perintah kawalan pergerakan (PKP).
  • Mengemukakan cadangan agar sidang Dewan Rakyat dilanjutkan lebih daripada 1 hari menjadi 8 hari

Mohamad Ariff berkata, atas pertimbangannya beliau memutuskan sebahagian ditolak dengan alasan usul tidak perlu disegerakan, dan sebahagian diterima kerana ia perkara tertentu untuk kepentingan awam dan perlu disegerakan.

Malangnya, Speaker dalam bersikap ‘terang’ apabila membuat kenyataan media berhubung menolak dan menerima usul, ada perkara ‘tidak jelas’ mengenai sebahagian usul yang diterima.

Ini tentu menimbulkan tanda tanya dan persepsi negatif bahawa mungkin ada sesuatu perkara cuba dilindungi oleh Speaker dengan tidak memperincikan sebahagian daripada empat usul Vui Keong yang diterima.

Bagaimanapun, memandangkan usul pertama dan kedua sama seperti dibawa oleh Shafie dan Dr Mahathir, besar kemungkinan Speaker menerima usul tiga dan empat termasuk membahaskan sidang Dewan dilanjutkan daripada 1 hari kepada 8 hari.

Perkara lain adalah berkait Peraturan Mesyuarat 27(3) bahawa usul hanya diterima selepas cukup notis (14 hari) untuk dimasukkan kedalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan.

Memandangkan surat usul undi tidak percaya Dr Mahathir terhadap Muhyiddin bertarikh 4 Mei, ia ‘ngam-ngam’ 14 hari – sepatutnya tidak boleh dimasukkan ke dalam AUM (AUM) kerana jika Parlimen bersidang pada 18 Mei, sudah tentu AUM dibuat lebih awal.

Apatah lagi jika surat itu sebenarnya mungkin diterima secara serahan tangan pada 5 Mei.

Bagaimanapun, dalam sesetengah keadaan, perkara cukup notis bagi sesuatu usul ada penyelesaian sendiri oleh pihak Setiausaha Dewan dan Speaker.

Apa pun persidangan sehari pada 18 Mei ini pasti menarik perhatian umum walaupun boleh dijangka bahawa usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin tidak sempat dilakukan kerana di bawah Peraturan Mesyuarat 15(1) urusan kerajaan akan didahulukan.          

Get real time updates directly on you device, subscribe now.