300 gelandangan dijamin diberi pekerjaan- Annuar Musa

217

8 MEI: 300 gelandangan akan diberi peluang pekerjaan dalam fasa pertama perlaksanaannya menerusi program penempatan pekerjaan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Melalui program itu, terdapat sembilan majikan yang dikenal pasti, antaranya Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Hartalega NGC Sdn Bhd dan Harumi Brands Sdn Bhd, Top Glove Sdn Bhd, Tesco Malaysia dan Trendcell Sdn Bhd yang memenuhi kriteria JTK WPKL serta mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata melalui saringan temu duga pada hari pertama kepada 72 gelandangan lelaki yang dijalankan kementerian, JTK dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), seramai 21 daripadanya sudah ditawarkan pekerjaan dan akan bekerja mulai Rabu ini.

Beliau berkata, 21 gelandangan itu berjaya ditempatkan di tiga syarikat iaitu Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Hartalega NGC Sdn Bhd dan Harumi Brands Sdn Bhd, manakala baki 51 akan ditemuduga oleh majikan lain dalam masa terdekat.

“Taklimat persediaan kerjaya ini dibuat di tiga Pusat Sementara Gelandangan (PSG) iaitu di PSG Desa Tasik, PSG Ampang Hilir dan PSG Sentul Perdana sebagai usaha mengubah kehidupan gelandangan di Wilayah Persekutuan.

“Selain pekerjaan, program ini juga memberikan peluang latihan kemahiran kepada gelandangan melalui Pusat Giat Mara dan Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur.

“Terdapat juga sebuah syarikat pembuatan sarung tangan sedang mengusahakan satu program khas yang membolehkan kerja pembungkusan barangan dibuat di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan Anjung Singgah di mana 70 gelandangan bakal menyertai program khas itu,” katanya dalam satu kenyataan media, Jumaat.

Katanya lagi, semua syarikat yang terbabit dalam program ini akan menyediakan kemudahan tempat tinggal, mematuhi Perintah Gaji Minimum 2020 dan Akta Kerja 1955.

“Gelandangan turut memperoleh kemudahan seperti cuti tahunan, cuti sakit, cuti bergaji, bayaran lebih masa dan lain peruntukan mengikut akta ini… perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga menjadi salah satu syarat yang diwajibkan,” jelasnya.

Secara keseluruhan, terdapat 753 gelandangan dengan 640 daripadanya lelaki, 79 wanita dan empat kanak-kanak ditempatkan di 12 PSG sehingga semalam.

Adalah menjadi hasratnya untuk memastikan gelandangan mempunyai kehidupan yang lebih baik dan tidak kembali kepada kehidupan lama selepas ini.

Jelas Annuar, pengurusan gelandangan tidak lagi hanya berperanan untuk menghalang pergerakan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebaliknya turut membuat penilaian psikologi, memupuk perubahan sikap dan menyediakan peluang pekerjaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.