Sokongan PKR Kedah semakin merosot

190

7 MEI: Sokongan PKR kedah semakin merosot apabila parti itu mengenakan tindakan disiplin secara beramai-ramai terhadap lebih 600 ahli termasuk pemecatan keahlian.

Meskipun akur dengan keputusan pucuk pimpinan parti, wakil rakyat Lunas, Azman Nasrudin berkata terpulang kepada lembaga disiplin PKR dan presidennya, Anwar Ibrahim untuk membuat keputusan.

Beliau turut mengingatkan jika perjuangan PKR dilihat hanya tertumpu kepada mengangkat seorang pemimpin parti menjadi perdana menteri, ia akan dianggap sudah lari daripada fokus perjuangan untuk rakyat. 

“Bila pemecatan dan penggantungan ahli secara beramai-ramai menunjukkan parti ini sudah merosot sokongan dan akan terus merosot sehingga pilihan raya umum akan datang,” katanya yang juga exco kerajaan Kedah.

Beliau dipetik FMT turut berkata perkembangan ini menyusuli pelucutan keahlian 348 orang dan penggantungan keahlian 285 yang lain termasuk Ketua Wanita, Haniza Talha.

Timbalan Ketua Wanita, Daroyah Alwi amat kesal dan kecewa dengan tindakan terhadap anggota parti yang dikatakan pengkhianat dan melanggar tata etika dan disiplin parti, mengatakan majlis pimpinan pusat harus lebih telus dan rasional.

Sebelum itu, PKR mengeluarkan senarai mereka yang dikenakan tindakan disiplin termasuk individu yang dikatakan pro bekas timbalan presiden, Mohamed Azmin Ali.

Keahlian Haniza digantung pada 6 April kerana menghadiri pertemuan dengan Azmin dan bekas naib presiden, Zuraida Kamaruddin pada Februari lalu.

Baru-baru ini, seorang Adun PKR di Kedah secara terbuka mengatakan beliau tidak berpuas hati dengan tindakan disiplin secara beramai-ramai itu.

Wakil rakyat Sidam, Robert Ling Kui Ee mencabar parti sendiri supaya turut mengambil tindakan terhadapnya.

“Ketika dunia sedang bertarung dengan Covid-19, ada sebuah parti di Malaysia lebih suka untuk memecat dan menggantung keanggotaan anggota sendiri.

“Bila mahu gantung saya pula? Takut untuk pecat saya kah? takut hilang kerajaan negeri pula kah? saya akan mempertahankan anggota yang setia dengan saya di Kedah,” katanya. – Oleh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.