Kes dera: 9 remaja diambil keterangan

40

7 MEI: Polis mengambil keterangan 9 remaja berusia 13 hingga 18 tahun bagi membantu siasatan berhubung rakaman video penderaan dan penganiayaan kanak-kanak yang didakwa berlaku di sebuah rumah kebajikan di Taman Bidara, Selayang, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Gombak, Arifai Tarawe berkata laporan polis dibuat seorang wanita tempatan yang pernah tinggal di rumah kebajikan berkenaan selepas dia dihubungi orang awam berhubung penularan rakaman video berkenaan.

Beliau berkata wanita berusia 36 tahun itu dikatakan merakam sendiri video kegiatan pengabaian kanak-kanak yang berlaku di rumah kebajikan berkenaan dan membuat aduan menerusi rakaman sama.

“Tujuan wanita itu merakam supaya ianya dapat ditunjukkan kepada ibu bapa kanak-kanak dan juga dihantar kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Arifai, wanita berkenaan dikatakan pernah tinggal di rumah kebajikan itu selama 2 minggu sebelum ini selain mendakwa ada dalam kalangan kanak-kanak di situ dipaksa membuat sampul duit raya serta dipukul sekiranya enggan berbuat demikian.

Menurutnya, wanita itu turut mendakwa perbuatan liwat pernah dilakukan terhadap beberapa kanak-kanak lelaki di situ.

Beliau berkata pemilik rumah kebajikan terbabit iaitu wanita berusia 44 tahun dikatakan turut membuat laporan polis dan mendakwa sekumpulan individu bertindak menyerbu masuk rumah kebajikan berkenaan sambil mengeluarkan kata-kata ugutan dan cuba mengambil kanak-kanak di rumah kebajikan itu kira-kira 2.00 pagi, kelmarin.

Arifai berkata 9 kanak-kanak berusia antara 5 hingga 12 tahun yang berada di rumah kebajikan itu akan dihantar ke Child Interview Center (CIC) dan Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan.

“Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan Seksyen 447/506 Kanun Keseksaan,” katanya. – Bernama

Get real time updates directly on you device, subscribe now.