Tular Ismail Kamus, Harjit Singh meninggal tidak benar

82

6 MEI: Pengarah Ikhtiar Syifa yang juga Exco Penerangan Persatuan Perubatan Islam Darussalam, Abdul Hadi Jusoh menafikan Datuk Ismail Kamus sudah meninggal dunia.

Beliau menerusi hantaran di laman Facebook Ikhtiar Syifa HQ memaklumkan, Ismail masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Khabar angin mengatakan Ustaz Ismail Kamus meninggal adalah palsu.

“Jangan putus harapan dan teruskan berdoa kepada beliau. Pada Allah jua kita meletakkan setinggi-tinggi harapan,” katanya.

Terdahulu, anak Ismail iaitu Mohd Firdaus memaklumkan keadaan bapanya bertambah baik.

Bagaimanapun, katanya, jantung Ismail masih lemah dan diberikan ubat untuk sokongan.

Sementara itu, berita mengenai penyampai berita veteran RTM, Harjit Singh Hullon juga memaklumkan beliau masih hidup dan dalam keadaan sihat.

Spekulasi ini timbul selepas kekeliruan identiti mengundang ucapan takziah daripada orang ramai yang percaya beliau sudah meninggal dunia.

Menerusi postingnya di Facebook, beliau berkata orang ramai keliru dirinya dengan Harjit Singh Bhullar, yang juga rakan sekerja di RTM semasa 60-an.

Bhullar, bekas penyampai sukan Radio Malaysia, meninggal dunia di Perth, Australia semalam, pada usia 80-an.

Harjit, 67, berkata sejak itu beliau terima banyak ucapan takziah, termasuk ucapan bersama gambarnya.

Harjit dikenali sebagai seorang penyampai Berita Dunia Jam 10.

Beliau memulakan kerjaya sebagai penyampai berita pada 1971, membacakan laporan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu di televisyen.

Beliau berkata Bhullar berhijrah ke Perth pada 90-an bersama isteri, Doris Chua, seorang lagi rakan sekerja di Radio Malaysia. Pasangan itu ada 2 anak lelaki dan 1 anak perempuan.

“Selepas berkhidmat di radio, Bhullar menceburi televisyen sebagai seorang penerbit pada 1970-an. Takziah saya ucapkan kepada isteri dan anak-anaknya atas kehilangan mereka,” tambahnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.