Bank setuju tiada caj tambahan sewaktu moratorium

9

6 MEI: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan pihak bank bersetuju untuk tidak mengenakan caj tambahan ke atas bayaran ansuran perjanjian sewa beli konvensional dan syariah.

Caj tambahan berkenaan adalah kadar faedah terakru serta yuran dan penalti lewat bayar.Tengku Zafrul berkata, kementeriannya telah mencapai kata sepakat dengan industri perbankan berhubung perkara itu susulan saranan kerajaan kepada industri perbankan mengenai pelupusan caj tambahan berkenaan.

“Persetujuan dicapai untuk menetapkan bahawa jumlah ansuran bulanan pinjaman tidak akan berubah bagi peminjam sewa beli (konvensional dan Syariah) sepanjang tempoh pembiayaan itu.

“Ini juga bermakna tiada sebarang caj tambahan akan dikenakan sewaktu tempoh moratorium (penangguhan),” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Zafrul menjelaskan, dengan tiada caj tambahan itu, peminjam hanya perlu menyambung pembayaran ansuran seperti biasa berdasarkan terma perjanjian dengan bank masing-masing, termasuk tambahan enam bulan bagi keseluruhan jadual pembiayaan jika memilih untuk memanfaatkan moratorium itu.

Beliau berkata, kerajaan berharap keputusan itu akan dapat meringankan beban rakyat dalam tempoh yang mencabar ketika ini.

Katanya, peminjam boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada bank masing-masing mengenai perkara itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.