6 maut selepas pesawat bawa bekalan perubatan terhempas

10

6 MEI: Sebuah pesawat yang membawa bekalan bantuan perubatan COVID-19 terhempas di Somalia, semalam.

Menteri Pengangkutan Somalia, Mohamed Salad, berkata kejadian itu menyebabkan kesemua enam penumpang dan kru meninggal dunia.

Katanya, pesawat yang membawa warga Kenya dan Somalia itu dikatakan sedang dalam perjalanan menghantar peralatan perubatan ke bandar.

“Enam yang maut ialah juruterbang, pembantu juruterbang, jurutera penerbangan, juruterbang pelatih serta dua orang yang bekerja untuk syarikat penerbangan.

“Setakat ini lima daripada mereka sudah ditemui,” katanya.

Mohamed Salad turut memaklumkan satu unit khas sudah diarahkan untuk menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan yang akan tiba di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Somalia turut menyambut baik mana-mana bantuan antarabangsa.

Bagaimanapun, beliau menolak untuk membuat spekulasi mengenai punca nahas, namun bekas menteri pertahanan mendakwa saksi di lapangan terbang melihat pesawat itu terhempas selepas ditembak.

Bekas Menteri Pertahanan Somalia, Abdirashid Abdullahi Mohamed, mendakwa ada saksi melihat pesawat yang cuba mendarat pada awalnya terpaksa berpatah balik kerana terdapat haiwan liar di landasan, namun ia kemudian ditembak di sayap pada cubaan kedua untuk mendarat.

Beliau turut menunjukkan gambar pesawat itu yang terbakar, serpihannya tersebar di beberapa kawasan, namun ekor pesawat itu tidak terjejas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.