Tunggu Julai kalau mahu berbahas panjang – Shahidan

385

5 MEI: Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim membidas kenyataan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa kerajaan menjalankan sidang Parlimen penuh sekurang-kurangnya 2 minggu bermula 18 Mei ini.

Jelasnya, gesaan itu tidak boleh diambil kira untuk waktu sekarang kerana yang lebih penting adalah keselamatan orang ramai dan usaha semua pihak dalam mengurangkan penularan wabak Covid-19.

 “Kita bersidang sekarang pun kerana memenuhi syarat bahawa ahli parlimen kena bersidang dalam masa 6 bulan, kalau tidak ahli parlimen tersebut akan hilang kelayakan. Kalau kita bersidang dalam tempoh yang lama, beratus orang akan hadir, peluang untuk dijangkiti Covid-19 pun tinggi.

“Sebab kedudukan dalam Parlimen itu jaraknya perlu diikutkan pada jarak normal.  Jadi sebab itu juga kita tak sarankan untuk bersidang dalam tempoh yang lama. Tunggu bulan Julai ni, nak berbahas, bahaslah selama mana yang mereka mahu,” katanya.

SHAHIDAN KASSIM

Dr Mahathir sebelum ini berkata memandangkan Parlimen memutuskan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan persidangan pada 18 Mei, bermakna banyak aktiviti sudah mula dibenarkan bersyarat.

“Persidangan yang lebih panjang akan membolehkan perbahasan isu lebih mendalam, serta membolehkan ahli-ahli jemaah menteri melaksana agenda legislatif kementerian masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini juga Majlis Presiden Pakatan Harapan turut mengeluarkan kenyataan dengan membuat gesaan yang sama.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata semua pihak tidak kira kerajaan atau pembangkang perlu bersatu dalam memerangi wabak ini.

Selain itu semua kepimpinan seharusnya memberi ruang dan masa kepada kerajaan sekarang dalam mencari jalan terbaik untuk rakyat menurunkan kadar penularan wabak tersebut.

“Letak dulu isu politik ke tepi, kita kena bantu frontliners yang banyak berjuang untuk kita. Jangan letakkan kepentingan diri dan politik di hadapan,” ujarnya kepada PNBBC Portal. 

Dalam masa yang sama, Shahidan menegaskan, sektor ekonomi memang perlu diteruskan bagi kelangsungan hidup masyarakat dan membantu perkembangan ekonomi negara yang sedikit lumpuh akibat Covid-19, selagi mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Itu lebih penting, banyak benda yang perlu dibetulkan. Masa mereka menjadi pemerintah, mereka kata negara dah bankrap, tak ada duit sampai terpaksa jual aset negara.

“Tapi sebenarnya rizab kita mencukupi, kita boleh salurkan bantuan kepada rakyat bila waktu kritikal sebegini. Tapi disebabkan PH menipu rakyat, menipu kita semua, pelabur lari.

“Siapa cakap tak betul sekarang?” soalnya lagi. – Oleh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.