PKPB: Kerajaan tubuh pasukan petugas khas pematuhan SOP

114

5 MEI: Kerajaan bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas bagi memastikan pematuhan semua prosedur operasi standard (SOP) di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). 

Penubuhan yang melibatkan 14 buah agensi itu dimaklumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri antaranya melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), RELA, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). 

“Di bawah pelaksanaan PKPB ini, tumpuan tidak lagi kepada sekatan jalan raya tetapi. Sebaliknya tumpuan adalah untuk memastikan semua SOP dipatuhi oleh semua pihak. 

“Setakat ini 14 agensi diberikan kuasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jumlah agensi yang terlibat dalam pasukan petugas khas ini akan ditambah dari semasa ke semasa,” jelasnya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini. 

Pada masa sama, pasukan petugas khas pematuhan SOP juga katanya akan ditubuhkan di peringkat daerah di seluruh negara termausuklah melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, kerajaan menafikan kawasan Pasar Chow Kit serta Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti masing-masing di Selayang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 

Jelas Ismail Sabri Yaakob sebaliknya menyatakan kawalan di kawasan tersebut hanyalah prosedur dan tidak diisytiharkan menjalani PKPD. 

“Selagi saya tidak umumkan, tiada pelaksanaan PKPD di kawasan itu. Jika ada kawalan pasukan keselamatan, ianya dilakukan secara pentadbiran sahaja,” katanya.

Semalam, tular di media sosial, kononnya Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur serta Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti di Selayang dikenakan PKPD bagi membendung penularan Covid-19.

Kehadiran askar yang mengawal dan memasang kawat berduri di kawasan itu turut dikongsi di beberapa laman sosial. – Oleh YAZID ALIAS

Get real time updates directly on you device, subscribe now.