Pekerja asing jadi sasaran utama kumpulan baru Covid-19

35

5 MEI: Pekerja asing menjadi sasaran baru untuk memastikan wabak Covid-19 dapat dikekang. 

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan perkara itu dengan menjelaskan buat masa ini pihaknya sedang melihat dari segi jenis kawasan dan kumpulan yang berisiko tinggi mempunyai Covid-19.

“Kita tahu kumpulan berisiko tinggi adalah himpunan tabligh di Sri Petaling, sekolah tahfiz dan sekarang pekerja asing.

“Terutamanya di kawasan zon merah di Kuala Lumpur dan Selangor. Kita punya polisi adalah sekarang untuk pastikan mereka dibuat ujian saringan Covid-19,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media, Selasa.

Semalam, kerajaan memutuskan semua pekerja asing di semua sektor diwajibkan menjalani saringan Covid-19, ekoran peningkatan kes positif melibatkan kalangan pekerja asing, susulan kes di tapak pembinaan di Ampang.

Kos ujian itu perlu ditanggung majikan, kata Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum ini, KKM mengumumkan mengesan 1 lagi kluster baru, selepas 28 kes positif dikesan di satu tapak pembinaan di Kuala Lumpur.

Kluster itu dinamakan kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur dan difahamkan Kementerian Kerja Raya sudah menutup tapak tersebut.

Bagi hari ini, Malaysia mencatatkan 30 lagi kes baru Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pernah direkodkan ialah 6,383 kes.

Jelasnya 30 kes baru itu merupakan kes jangkitan tempatan yang dikesan di kawasan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD)

Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 83 lagi pesakit pulih dari jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh ialah sebanyak 4,567 atau 71.55%. – Oleh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.