MEF perlu laksana arahan kerajaan

6

5 MEI: Arahan kerajaan supaya semua majikan menjalankan pemeriksaan saringan Covid-19 ke atas semua pekerja asing adalah untuk kepentingan rakyat dan negara. 

Demikian ditegaskan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri sebagai menjawab tindakan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dilapor mempersoalkan arahan tersebut semalam. 

Menurut beliau, arahan pemeriksaan saringan itu dikeluarkan kerajaan kerana bimbang wujudnya kluster baharu jangkitan Covid-19 melibatkan pekerja warga asing di negara ini. 

“Sebelum ini, dua hari berturut-turut berlaku peningkatan kes Covid-19 berpunca daripada pekerja asing. Kita tidak mahu ada lagi kluster baharu jangkitan wujud,” katanya dalam sidang media hari ini. 

Jelas Ismail Sabri, sekiranya majikan mengabaikan arahan pemeriksaan tersebut kerana jika berlaku penyebaran jangkitan, pusat operasi mereka juga terpaksa ditutup. 

Semalam, MEF mendakwa pihak majikan terpaksa menanggung kos kira-kira RM1.15 bilion jika perlu menjalankan saringan Covid-19 ke atas semua pekerja asing yang berdaftar dengan mereka.

Menurut Pengarah Eksekutifnya, Datuk Shamsuddin Bardan, arahan itu akan menambah bebanan kos kepada majikan yang sudah sedia ada mengalami situasi sukar ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Malah, kerajaan juga katanya tidak wajar mengandaikan semua pekerja asing adalah pembawa Covid-19 semata-mata kerana pertambahan 27 kes membabitkan buruh binaan bukan warganegara di Jalan Ampang. 

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan tidak membenarkan sebarang operasi ekonomi dilaksanakan di kawasan yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). – Oleh YAZID ALIAS

Get real time updates directly on you device, subscribe now.