Negara perlu undang-undang lebih tegas hukum pemandu mabuk

39

Negara memerlukan undang-undang lebih tegas dalam mendidik masyarakat supaya lebih berdisiplin dan memastikan tiada sebarang kecuaian yang boleh mengakibatkan kematian atau kecacatan kepada pihak yang tidak berdosa terutama berpunca pemandu mabuk.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu perlu susulan insiden terbaru mengakibatkan seorang anggota polis maut berpunca pemandu mabuk di Kajang selain beberapa tragedi langgar maut sebelum ini.

“Kejadian menyayat hati itu menuntut kita segera membuat pindaan rang undang undang jalanraya bagi mengelakkan kematian rakyat kita yang tidak berdosa,” katanya.

Menulis di Facebook beliau, Zahid turut menamakan mereka yang terkorban berpunca pemandu mabuk berdasarkan laporan media.

Antaranya adalah seperti:-
• Hiew Nyuk Wei, 30 tahun (8 Julai 2018)
• Clawence Wong Vun Kit, 21 tahun, (8 Julai 2018)
• Roslinda Isa, 44 tahun (16 Jun 2019)
• Saidi Dollah, 52 tahun (9 Julai 2019)
• Muhammad Amin Najmi Azaman, 19 tahun (11 Febuari 2020)
• Yusuf Hussin, 42 tahun (10 Febuari 2020)
• Zuriana Hasan, 36 tahun (9 Febuari 2020 kemalangan, 5 April 2020 meninggal dunia)
• Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31 tahun (3 Mei 2020)

“Saya menyarankan agar Kerajaan mengambil langkah segera dan proaktif dengan meminda undang-undang sedia ada di dalam kanun keseksaan dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan memasukkan hukuman yang lebih berat kepada pemandu-pemandu mabuk yang cuai dan menyebabkan kematian atau kecederaan kepada pihak yang tidak berdosa,”

“Ini dapat memberi pengajaran seumur hidup kepada mereka serta peringatan kepada pihak lain,” katanya lagi.

ZAHID HAMIDI

Menurut Zahid, hukuman seperti digantung lesen seumur hidup, penjara seumur hidup, rotan dan hukuman bunuh adalah antara bentuk hukuman yang diamalkan di beberapa negara luar terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian kepada pihak ketiga dan ianya terbukti berkesan.

“Selain itu saya juga mengusulkan agar Kementerian Pengangkutan mengadakan kempen kesedaran “HIDUP BUKAN PERMAINAN, JIKA MABUK JANGAN MEMANDU”,” jelas beliau.

Katanya, negara ini sama sekali tidak menghalang bukan Islam dari meminum arak kerana menghormati amalan dan budaya mereka tetapi mereka perlulah berdisiplin serta mengamalkan gaya hidup yang sihat dan mengelak memandu dalam keadaan mabuk yang boleh memudaratkan pihak lain yang tidak berdosa.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.