Sabah, N. Sembilan tidak laksana PKPB esok, Pahang kaji dulu

40

3 MEI: Kerajaan Sabah memutuskan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan, mulai esok.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu kenyataan hari ini, berkata pihaknya akan mengekalkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 4 yang akan berakhir pada 12 Mei ini.

“Pendirian ini diambil bagi meneruskan usaha untuk membendung penularan pandemik Covid-19 dan memastikan rakyat tidak terdedah dengan jangkitan virus.

“Kita juga meminta seluruh rakyat Sabah untuk terus mematuhi PKP yang sedang berkuat-kuasa ini dengan duduk di rumah dan sentiasa mematuhi penjarakan sosial dan kerap membasuh tangan serta utamakan kebersihan,” katanya.

Sementara itu Kerajaan Negeri Sembilan juga sependapat tidak membenarkan pelanggan makan di dalam restoran dan kedai makan serta aktiviti sukan serta sektor sosial.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Razali Ab Malik dalam kenyataan di Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan berkata, restoran, kedai makan dan trak makanan hanya dibenar menawarkan perkhidmatan bawa pulang, penghantaran serta pandu lalu.

Katanya, kerajaan Negeri Sembilan pada dasarnya bersetuju dengan saranan untuk melonggarkan PKP fasa ke-4 seperti diumumkan perdana menteri mengenai tatacara kawalan serta pengoperasian sektor yang terlibat dalam PKPB.

“Namun begitu, memandangkan kes baru Covid-19 di Negeri Sembilan masih berlaku dan bagi memastikan kes baru dapat dikawal, kerajaan Negeri Sembilan mengambil keputusan hanya sektor ekonomi yang dibenarkan saja boleh beroperasi ketika PKPB.

“Bagi kawasan yang mempunyai kes positif Covid-19 yang baru dan tinggi seperti beberapa taman perumahan di Sendayan, kedai sekitar Pasar Besar Seremban serta Pasar Bahau, operasi sektor ekonomi yang dibenarkan di dalam PKPB adalah tidak dibenarkan tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan.”

Razali berkata, syarikat atau premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi wajib mematuhi syarat dan prosedur operasi standard ditetapkan.

Katanya, pihak berkuasa tidak akan membenarkan premis melanggar SOP itu meneruskan operasi.

“Langkah ini diambil kerana kerajaan negeri percaya perjuangan kita belum berakhir sepenuhnya untuk melenyapkan Covid-19 berdasarkan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.

“Kerajaan negeri akan mengkaji tatacara ini dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan terkini berkaitan penularan Covid-19.”

Manakala Kerajaan Negeri Pahang pula dalam satu kenyataan berkata keputusan Kerajaan Persekutuan memberi kelonggaran perlu dikaji dan akan memperhalusinya agar sesuai dengan kedudukan semasa penularan wabak pandemik Covid-19 di Pahang.

“Ini akan dibincang secara lanjut pada mesyuarat mingguan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri petang Jumaat, 8 Mei 2020.

“Sepertimana semua maklum, negeri Pahang kini sedang menghadapi kemunculan kluster baharu. Oleh itu, tumpuan khusus dan utama perlu dilakukan bagi menanganinya,” menurut Menteri Besarnya Datuk Seri Wan Wan Rosdy Wan Ismail.

Justeru tambahnya, Kerajaan Pahang sedang memperhalusi langkah-langkah pelaksanaan PKPB supaya apabila mana-mana sektor dibuka tidak akan menyebabkan penularan baharu.

Dalam pada itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling, Kedah bersama beberapa agensi penguatkuasaan akan memperketatkan kawalan di sempadan daerah terbabit yang menjadi laluan utama kemasukan kenderaan dari utara Perak dan Pantai Timur ke negeri itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Mohd Sauti Harun, berkata ia antara langkah mengawal kemasukan kenderaan yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa dan aktiviti rentas negeri, terutama menjelang Aidilfitri.

Beliau berkata, proses pemantauan dan pemeriksaan kenderaan melalui sekatan jalan raya akan dilaksanakan seperti biasa walaupun penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

Katanya, sebarang perubahan sistem atau proses pemeriksaan hanya akan diputuskan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pemantauan (di Baling) seperti biasa, kita ambil maklum peraturan memberi kebenaran kepada dua individu dalam satu kenderaan.

“Kita masih perketatkan terutama bagi (kenderaan) luar ke Baling. Kawasan ini adalah zon hijau, jadi kita semak pergerakan mereka ada kelulusan, mungkin jangkaan kemasukan lebih sikit dan yang keluar daerah atau negeri memang dijangka,” katanya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok (4 Mei), bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

Langkah itu susulan dua daripada enam strategi dan perancangan kerajaan dalam memerangi wabak iaitu ketegasan dalam tindakan mengawal COVID-19 dan membina ketahanan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin telah membuahkan hasil.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.