PKPB: Kendiri faktor utama hindari jangkitan Covid-19

189

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB) yang membenarkan hampir semua sektor ekonomi beroperasi bermula 4 Mei ini adalah untuk memberi ruang kepada rakyat meneruskan kegiatan ekonomi masing-masing selain memastikan pertumbuhan ekonomi negara.

Ramai di antara rakyat yang gembira dan ada juga melahirkan pandangan skeptik yang diluahkan mereka menerusi media-media sosial.

Bagi yang gembira dengan kelonggaran itu, mereka merasakan tidak lagi perlu duduk di rumah dan boleh bekerja seperti biasa untuk mencari sumber pendapatan.

Bagi yang ragu-ragu, mereka bimbang apakah kelonggaran yang diberikan itu akan menyebabkan kes jangkitan COVID-19 meningkat semula.

Apatah lagi selepas pengumuman Perdana Menteri itu orang ramai mula keluar rumah berdasarkan bilangan kereta meningkat berbanding hari-hari biasa dalam tempoh fasa 1,2 dan 3 pelaksanaan PKP.

Memang tidak dinafikan bahawa dalam sesuatu pengurusan sesebuah negara atau krisis, mesti ada perbezaan pandangan.

Namun, perbezaan itu seharusnya diimbangi secara adil agar tidak mengeruhkan suasana terutamanya dalam situasi krisis seperti wabak Covid-19 ini.

Harus difahami, keputusan kerajaan memberi kelonggaran kepada sektor ekonomi beroperasi adalah berasaskan kepada hasil serta disiplin sebahagian besar rakyat Malaysia sedia ‘berkurung’ di rumah selama dua bulan bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 dengan mematuhi PKP sebelum ini.

Selain itu, kerajaan juga dilihat berpuas hati dengan pelaksanaan Pakej Rangsangan Prihatin bernilai RM250 bilion yang diumumkan pada 27 Mac lalu yang menumpukan kepada  peningkatan kemampuan rakyat dan ekonomi turut mendorong keputusan pelaksanaan PKPB ini.

Apa pun asas yang dinilai oleh kerajaan, namun bagi rakyat mereka pastilah tidak mahu ada sebarang masalah yang boleh merencatkan kehidupan seharian mereka di sebalik pelaksanaan PKPB yang akan bermula pada Isnin ini.

Memang benar kerajaan juga telah menggariskan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan tidak berlakunya penyebaran wabak COVID-19 semasa menjalankan operasi atau aktiviti ekonomi nanti.

Antaranya memastikan penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, memakai topeng muka manakala pengangkutan awam menghadkan bilangan penumpang, menggalakkan transaksi secara online dan sebagainya.  

Bagaimanapun, apa yang menjadi keresahan sebahagian rakyat yang skeptik ialah apakah pihak industri atau pengusaha restoran seperti ‘Pak Salleh’ itu dapat memastikan pelaksanaan SOP operasi itu benar-benar dipatuhi?.

Bagaimana tahap SOP ini dipatuhi dalam keadaan kilang pada waktu puncak pengeluaran atau orang yang ramai membeli makanan atau barangan di restoran atau pasar?
 
Demikian jugalah kebimbangan sesetengah pihak terhadap kelonggaran kerajaan yang membenarkan rakyat bermain golf, jogging, kayuhan basikal dalam kumpulan kecil tidak melebihi 10 orang.

Katakan lah ‘si polan’ ini memiliki gejala COVID-19 tetapi tidak peka dengan simptom yang dihadapinya itu berjogging dalam kumpulan A tetapi pada waktu pagi kemudian menunggang basikal berkumpulan B pada waktu petang. Kalau diikutkan, 18 orang telah terdedah dengan risiko COVID-19 dalam masa sehari, bayangkan jika ada 10 orang seperti si polan ini?

Persoalannya siapa yang mahu pastikan kelonggaran dan SOP yang ditetapkan itu dipatuhi. Apakah beban itu juga mahu diletakkan kepada bahu kerajaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Apapun peraturan atau SOP yang digariskan oleh kerajaan bagi memulihkan semua keadaan negara daripada Covid-19,kunci utamanya adalah terletak kepada setiap rakyat itu sendiri.

Kerajaan boleh merangka apa pun yang dianggap membantu menangani masalah ini, namun jika ada keingkaran awam (civil disobedience), ianya tidak memberi apa-apa makna.

Maka sebab itulah semua pihak sama ada rakyat, pekerja, majikan, pengusaha pengilang, pemodal atau mereka yang berkait rapat dengan sektor ekonomi ini masing-masing perlu mempunyai serta melaksanakan kawalan kendiri agar setiap tindakan yang dilakukan itu bakal memberi kebaikan kepada dirinya sendiri dan orang lain.

COVID-19 ini soal nyawa, bukannya soal wang ringgit atau turun-naik ekonomi. Tepuk dada, tanya selera, jika kita tidak mahu norma baharu ini menggantikan norma yang dibiasa kita lakukan, maka laksanakanlah kawalan kendiri. – Oleh YAZID ALIAS

Get real time updates directly on you device, subscribe now.