Netizen mahu hukuman berat dikenakan pemandu mabuk

45

3 MEI: Rata-rata netizen meminta undang-undang digubal semula serta hukuman berat dikenakan terhadap suspek susulan kejadian pagi tadi melibatkan individu disyaki mabuk merempuh sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya LEKAS, awal pagi tadi.

Perkara itu diluahkan nitizen menerusi laman sosial Facebook Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador yang turut mengucapkan takziah atas perkara yang berlaku.

Dalam insiden kira-kira jam 3 pagi itu, seorang anggota polis, Koperal Safwan Muhammad Ismail maut selepas dilanggar serta dihempap kenderaan pacuan empat roda dipandu oleh seorang lelaki dipercayai mabuk.

Seorang netizen yang memberi komen, Razak Kayne berkata undang-undang sedia ada perlu digubal agar mereka yang melakukan kesalahan seumpama ini dikenakan hukuman berat.

“Jangan biarkan nyawa tak berdosa hilang akibat perangai pemandu seperti ini,” tulisnya.

Bagi Wan Azizi pula, mabuk bukan lagi penyebab kemalangan kerana ia adalah perbuatan sengaja membunuh.

“Jika undang-undang sedia ada tak memadai tolong lah langkah mula menggubal. Kita Kehilangan seorang anggota hari ini,” ujarnya.

Kejadian itu berlaku pada jam 2.11 pagi tadi sehingga anggota polis itu meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Allahyarham yang berasal dari Ipoh, Perak adalah anggota di Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Jenazah mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk urusan bedah siasat.

Abdul Hamid dalam kenyataannya menerusi Facebook berkata beliau bersama isteri mengucapkan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham.

Malah Ketua Polis Negara itu turut menyatakan ‘keluarga besar’ nya telah kehilangan seorang ahli yang bertugas untuk negara di bulan Ramadhan. – Oleh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.