Operasi penghantaran pulang pelajar zon tengah lancar

34

2 MEI: 145 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memulakan perjalanan pulang ke kampung masing-masing untuk peringkat zon tengah.

Pelepasan mereka dilakukan di Dewan Utama Pusat Kebudayaan UIAM Kampus Gombak.

Zon tengah merangkumi kawasan Lembah Kelang seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat, Klang Selatan dan Klang Utara, Putrajaya, Sepang, Serdang, Shah Alam, Subang Jaya, Sg.Buloh, Kajang, Ampang, Cheras, Petaling Jaya dan Gombak.

Kesemua pelajar tersebut memulakan perjalanan yang dibahagikan kepada dua peringkat.

Mereka akan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah yang telah ditetapkan.

Setiap pergerakan perjalanan pulang para pelajar ini mematuhi semua amalan prosedur SOP yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi(KPT), Majlis Keselamatan Negara(MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM).

Semua pelajar akan disaring tahap kesihatan mereka terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman.

Selain itu semua beg pakaian disanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia malah bas yang akan membawa pulang para pelajar turut disanitasi.

Menurut Rektor UIAM, Professor Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak, segala operasi dan proses penghantaran pulang pelajar mengikut segala SOP yang ditetapkan dan itu memang menjadi keutamaan pihak pengurusan terutama aspek keselamatan dan kesihatan.

“Pelajar ini wajib melalui beberapa fasa saringan kesihatan dan perlu mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Selain itu juga kami amat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan membantu.

“Alhamdulillah, semua berjalan dengan lancar dan pelajar dapat pulang bersama keluarga untuk menyambut bulan Ramadan dan dapat berhari-raya bersama. Kepada para ibu bapa juga terima kasih kerana berdoa dan bersabar menunggu kepulangan anak-anak yang dinantikan,” ujarnya lagi.

Terdahulu penghantaran pulang pelajar UIAM kumpulan pertama untuk zon utara (Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) selamat dilaksanakan pada 27 April lalu.

Seramai 193 orang pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.