Jong Un muncul selepas hampir 3 minggu hilang

42

2 MEI: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un muncul buat julung kali dengan merasmikan sebuah kilang baja, sejak spekulasi mengenai kesihatannya bermula bulan lalu, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) hari ini.

Menurut laporan itu, Jong Un menghadiri majlis itu pada Jumaat dan semua hadirin memberi sorakan gemuruh apabila beliau muncul.

Beliau dilaporkan meninjau kilang itu dan diberikan taklimat mengenai proses pengeluaran.

Jong Un dengan penuh emosi berkata, datuknya Kim Il Sung dan bapanya Kim Jong Il akan sangat gembira jika mereka mendengar berita kilang baja fosfat moden itu sudah dibina.

Jong Un tidak muncul di khayalak ramai sejak mesyuarat Parti Pekerja pada 11 April lalu dan keesokannya media melaporkan beliau memeriksa jet pejuang di sebuah unit pertahanan udara.

Spekulasi berhubung tahap kesihatannya bermula selepas beliau tidak menghadiri sambutan ulang tahun kelahiran datuknya Il Sung, pengasas Korea Utara – hari paling penting dalam kalender politik negara itu, pada 15 April lalu.

Seorang penasihat tertinggi keselamatan kepada Presiden Korea Selatan, Moon Jae In dilaporkan berkata, kurang seminggu lalu Jong Un masih hidup dan sihat.

Penasihat itu, Moon Chung In memberitahu CNN, Jong Un tinggal di Wonsan – sebuah bandar peranginan di timur Korea Utara – sejak 13 April lalu sambil menambah: “Tiada pergerakan mencurigakan dikesan setakat ini.”

Daily NK, sebuah media atas talian yang kebanyakannya dikendalikan pembelot Korea Utara, melaporkan Jong Un menjalani rawatan selepas satu prosedur kardiovaskular bulan lalu.

Ia memetik sumber dalam negara itu sebagai berkata, Jong Un yang berusia 30-an memerlukan rawatan segera kerana kuat merokok, obesiti dan keletihan.

CNN kemudiannya memetik seorang pegawai Amerika Syarikat sebagai berkata, Washington sedang memantau risikan yang Jong Un dalam keadaan sangat bahaya selepas menjalani pembedahan.

Awal minggu ini, Presiden AS, Donald Trump mengesahkan Jong Un masih hidup.

Tetapi, beliau enggan mengulas laporan kemunculan semula Jong Un.

Korea Utara sentiasa berahsia, khasnya mengenai pemimpin mereka.

Jong Il meninggal dunia selama 2 hari sebelum sesiapa di luar kelompok dalaman pucuk pimpinan Korea Utara mengetahuinya.

Pada 2014, Jong Un tidak kelihatan di khalayak ramai hampir 6 minggu sebelum beliau muncul semula.

Beberapa hari kemudian, agensi risiko Korea Selatan berkata, Jong Un menjalani pembedahan membuang sista di buku lalinya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.