UNHCR sedia beri komitmen kepada kerajaan isu Rohingya

50

1 MEI : Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sedia memberi komitmen sepenuhnya terhadap langkah kerajaan berhubung isu pelarian Rohingya.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam UNHCR, Yante Ismail, pihaknya sentiasa mencari jalan terbaik, namun dalam masa yang sama  perlindungan yang sewajarnya perlu diberikan kepada etnik itu.

“Kami komited dengan kerajaan untuk mencari jalan terbaik dalam hal ini, dan pada masa yang sama, pelarian berhak mendapat perlindungan di negara ini, memiliki akses yang lebih besar untuk perawatan kesihatan, mata pencarian, memiliki akses pendidikan, dan lain-lain,” katanya kepada PNBBC portal.

Jelas Yante lagi pihaknya turut menyokong langkah kerajaan bagi mengekang beberapa isu yang menimbulkan kegusaran rakyat, termasuklah tindakan memperketatkan sempadan termasuk lorong-lorong tikus bagi menghalang pencerobohan Pendatang Tanpa Izin (PATI), selari dengan langkah kerajaan menutup pintu masuk negara kepada warga asing bagi memutuskan rantaian COVID-19.

“Mereka juga perlu mematuhi undang-undang negara Malaysia sebagai tuan rumah. Mereka yang melakukan jenayah perlu menjalani proses sewajarnya di bawah undang-undang Malaysia seperti orang lain,” Jelasnya lagi.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa Kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai PATI walaupun memegang kad UNHCR.

Ini disebabkan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen  Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata langkah yang sewajarnya perlu diambil kerajaan supaya golongan itu idak mendatangkan ancaman pada rakyat dan negara ini.

BUNG MOKTAR RADIN

“Selaku pendatang seharusnya mereka menghormati undang-undang negara kita. Bila kita jadi terlalu baik, ramai pula yang ambil kesempatan minta hak yang sama dengan bangsa Malaysia. Ia membuatkan kita hilang  simpati pada mereka.

“Pada saya, lepas PKP ni kerajaan perlu membuat keputusan termasuk menghantar mereka pulang ke negara asal kerana kita tidak mahu berhadapan pelarian ini jika sudah dikira sebagai ancaman kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Sehingga Mac lalu, terdapat seramai 179,521 pemegang kad UNHCR yang tinggal secara sementara di Malaysia. Daripada jumlah itu, 56.6 peratus atau 101,584 orang daripada etnik Rohingya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.