PKP Bersyarat mula 4 Mei bagi jana ekonomi

136

1 MEI : Kerajaan hari ini mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk meringankan sekatan bermula 4 Mei.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja, berkata hampir semua kegiatan ekonomi dan sosial akan dibenarkan beroperasi.

Namun ia tertakluk pada peraturan semasa dan prosedur operasi standard (SOP) pihak berkuasa serta cadangan yang dikemukakan.

“Saya mencadangkan majikan melaksanakan waktu bekerja yang anjal. Tidak semua masuk bekerja pada waktu yang sama,” katanya.

Selain itu majikan digalakkan supaya pekerja terus dibenarkan bekerja dari rumah.

Menurut Muhyiddin, langkah ini penting kerana perniagaan dan pekerjaan merupakan sumber pendapatan, dan sekiranya sekatan ketat berpanjangan, ia akan menjejaskan kewangan.

Katanya, negara mengalami kerugian RM2.4 bilion setiap hari sepanjang pelaksanaan PKP dengan kerugian sehingga kini sebanyak RM63 bilion, sejak PKP bermula 18 Mac lalu.

“Terhenti aktiviti ekonomi bermakna terhentilah sumber pendapatan negara. Cukai tidak boleh dikutip, industri tidak boleh berkembang, pertumbuhan ekonomi terencat dan yang paling ingin kita elakkan ialah lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup dan ramai pekerja kehilangan pekerjaan.

“Jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara kita akan kerugian RM35 bilion menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion hampir RM100 bilion,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dalam masa yang sama, semua sekolah, kolej dan universiti masih belum boleh dibuka, begitu juga dengan aktiviti membabitkan perhimpunan ramai termasuk aktiviti keagamaan dan majlis kenduri.

Selain itu, semua aktiviti riadah dan sukan membabitkan perhimpuan ramai seperti bola sepak juga masih tidak dibenarkan.

Namun aktiviti yang tidak melibatkan sentuhan seperti jogging, berbasikal dan golf dibenarkan dengan syarat penjarakan sosial dan tiada sentuhan badan.

Turut dibenarkan dibuka restoran atau kedai makan dengan pematuhan SOP termasuk memeriksa suhu badan pelanggan dan mencatatkan nama serta nombor telefon.

Tambahnya lagi, senarai lengkap dan aktiviti yang dibenarkan boleh dirujuk dengan Majlis Keselamatan Nasional (MKN).

Senarai tersebut katanya akan disemak dari masa ke semasa bergantung kepada perkembangan kes COVID-19. – Oleh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.