Pergerakan pulang pelajar IPT ke Sarawak dan ke Semenanjung bermula

11

1 MEI : Pergerakan pulang pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dari Semenanjung ke Sarawak dan sebaliknya bermula hari ini  melibatkan 575 pelajar.

Bagi pergerakan pulang ke Sarawak, ia membabitkan 287 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim dan  dibawa menaiki 16 bas ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Mereka berlepas dengan pesawat jam 10.30 pagi tadi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada petang ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, sebaik tiba di Kuching, mereka disambut oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dan urusan penghantaran pulang pelajar akan dilaksanakan oleh agensi kerajaan di sana manakala sebahagiannya dijemput keluarga masing-masing.

Bagi pergerakan pelajar dari Sarawak ke Semenanjung pula, seramai 288 pelajar dari tiga IPT iaitu 284 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), tiga pelajar UiTM Samarahan dan seorang pelajar Politeknik Kuching akan menaiki pesawat khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

“Setibanya pelajar di KLIA, mereka dibawa menaiki 18 bas yang disediakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ke kediaman masing-masing di Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Perak,” katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Dr Noraini Ahmad turut berada di KLIA bagi memastikan pergerakan pulang pelajar IPT lancar

Noraini turut berada di KLIA bagi melihat proses penghantaran kumpulan pertama pelajar Sarawak.

Tambahnya, proses penghantaran dilakukan secara berperingkat dengan kawalan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kawalan SOP ini diadakan secara ketat bagi memastikan pelajar berada dalam keadaan sihat dan selamat,” katanya.

Turut hadir pada pelepasan itu ialah Menteri Kanan (Infrastruktur) yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.