Negara rugi RM2.4 bilion sehari sepanjang tempoh PKP

25

1 MEI: Negara kerugian sekitar RM2.4 bilion sehari sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, jelas Perdana Menteri.

Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, angka tersebut merupakan anggaran yang dihadapi negara ketika ini susulan daripada penularan wabak COVID-19 yang menyebabkan ekonomi terhenti sekaligus menjejaskan pendapatan negara.

“Saya hendak sebutkan di sini bahawa negara kita rugi sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan. Jumlah kerugian setakat ini dianggarkan sekitar RM63 bilion,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin juga tidak menolak kemungkinan anggaran kerugian negara boleh mencecah pada angka RM98 bilion sekiranya PKP diteruskan untuk tempoh sebulan lagi.

Malah, Perdana Menteri juga memahami keluh kesah rakyat yang ingin kembali bekerja, meneruskan perniagaan atau perusahaan masing-masing bagi meneruskan kelangsungan kehidupan setelah hampir dua bulan menjalani PKP.

Dalam pada itu, Perdana Menteri dalam perutusan yang sama mengumumkan keputusan kerajaan untuk membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan beroperasi bermula 4 Mei ini.

Bagaimanapun, kebenaran tersebut tertakluk kepada syarat-syarat serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan operasi dan aktiviti ekonomi serta perniagaan yang dijalankan itu tidak mengundang kepada kes baharu jangkitan wabak COVID-19.

“Saya katakan hampir semua (sektor ekonomi) kerana masih ada beberapa kategori industri dan perniagaan yang tidak diizinkan untuk beroperasi. Ini adalah perniagaan atau aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan yang mana penjarakan sosial sukar dikawal.

“Antaranya (kategori tidak diizinkan beroperasi) panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, pusat hiburan, kelab malam, taman tema, bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, karnival jualan dan semua bentuk persidangan dan pameran,” jelasnya.

Jelas Muhyiddin, keputusan kerajaan membenarkan sektor ekonomi beroperasi dengan syarat itu buat setelah mendapat nasihat Kementerian Kesihatan serta data-data dikumpul dan amalan terbaik yang ditentukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – Oleh YAZID ALIAS

Get real time updates directly on you device, subscribe now.