6 pendekatan tangani COVID-19, krisis ekonomi

79

1 MEI: Kerajaan mengunakan enam pendekatan strategi bagi memerangi wabak COVID-19 serta pemulihan ekonomi yang diharapkan dapat dicapai dalam tempoh waktu yang segera.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, enam pendekatan strategi tersebut ialah ketegasan (resolve), ketahanan (resilience), menjana semula (restart), pemulihan (recovery), memperkasa (revitalize) dan menyusun semula (reform).

“Sejak dari awal, kerajaan mempunyai perancangan yang jelas dalam memerangi wabak Covid-19 dan menghadapi krisis ekonomi. Kerajaan menggunakan strategi yang merangkumi 6 pendekatan.

“Pertama ialah ketegasan atau resolve dalam tindakan mengawal penularan wabak Covid-19 dengan melaksanakan PKP; kedua membina ketahanan atau resilience melalui pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi serta ketiga, menjana semula atau restart ekonomi secara teratur dan terkawal.

“Keempat, kerajaan melaksanakan strategi pemulihan atau recovery ekonomi dalam menghadapi norma baharu; kelima memperkasa atau revitalize ekonomi secara menyeluruh demi kelangsungan masa hadapan dan keenam, menyusun semula atau reform struktur ekonomi untuk membolehkan negara dan saudara-saudari semua melangkah ke era kehidupan yang sudah berubah dengan adanya ‘norma baharu’.

Tambah Perdana Menteri, setakat ini kerajaan telah mencapai hasil yang memberangsangkan bagi pelaksanaan pendekatan pertama dan kedua selain menegaskan akan bersedia untuk memulakan pendekatan ketika iaitu membuka semula aktiviti ekonomi secara terkawal dan berhati-hati bermula 4 Mei ini.

“Dengan ini kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB. Sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan, kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada
risiko jangkitan wabak COVID-19 yang masih tidak dibenarkan.

“Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) juga akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif COVID-19 yang tinggi,” jelasnya dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja, hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.