Jangan seperti hilang pedoman atau kelam kabut Isnin ini

139

1 MEI: Orang ramai diminta bersabar dan sentiasa membuat pertimbangan yang sebaiknya semasa ingin keluar dari rumah susulan keputusan kerajaan melonggarkan beberapa syarat, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mulai Isnin ini

Ini kerana penularan dan penyebaran wabak COVID-19 masih berlaku dan orang ramai dinasihatkan terus mematuhi saranan Kementerian Kesihatan bagi memastikan tidak terdedah jangkitan wabak itu.

Peringatan itu diberikan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador selain meminta orang ramai jangan seperti hilang pedoman atau kelam kabut apabila dibolehkan bergerak mulai 4 Mei ini.

Menurut beliau, sebaiknya hanya mereka yang benar-benar perlu keluar sama ada untuk bekerja di sektor yang sudah dibenarkan, membeli barang keperluan, mendapatkan rawatan kesihatan, selain mempunyai kebenaran kerajaan boleh bergerak untuk menjalankan tugas mereka.

“Keputusan yang dibuat kerajaan ini bukanlah satu jaminan bahawa penyakit ini sudah berjaya diatasi. Namun, kerajaan memberikan kelonggaran disebabkan atas kepentingan ekonomi. Jadi orang ramai perlu bersabar dan tidak tergopoh-gapah.

“Jadi saya menyarankan orang ramai untuk tidak mengambil kesempatan dan menggunakan peluang ini untuk mereka keluar beramai-ramai tanpa tujuan semata-mata untuk berada di luar rumah,” katanya selepas melawat penugasan sekatan jalan raya di Jalan Rawang-Kuala Lumpur.

Menurut Abdul Hamid, kerajaan sebenarnya akan melonggarkan lagi syarat yang ada dalam PKP pada masa akan datang supaya orang ramai boleh keluar untuk beriadah.

Bagaimanapun ujarnya, kerajaan hanya akan memutuskan perkara itu pada masa yang sesuai apabila keadaan benar-benar selamat dan penjarakan sosial sentiasa diamalkan.

Katanya polis juga akan mengubah strategi tugas dengan mengutamakan kepada peraturan penjarakan sosial manakala sekatan jalan raya akan dikurangkan serta diubah ke lokasi lain terutama laluan penyeludupan atau pendatang tanpa izin.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan PKP Bersyarat bagi memastikan aktiviti ekonomi bergerak semula tetapi orang ramai dan sektor yang dibenarkan beroperasi mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.