Ahmad Badri Pengerusi KWSP, Khaled di Boustead

47

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir sebagai pengerusi baru bermula 1 Mei 2020.

Beliau menggantikan Tan Sri Samsudin Osman yang akan bersara setelah berkhidmat sebagai pengerusi KWSP selama 13 tahun 3 bulan sejak tahun 2007.

Dalam satu kenyataan, KWSP berkata, Ahmad Badri pernah memegang jawatan ketua setiausaha Perbendaharaan di Kementerian Kewangan dan berkhidmat di sana selama hampir 30 tahun.

Beliau merupakan ahli Panel Pelaburan KWSP sejak tahun 2014, dan berpengalaman luas dalam bidang pelaburan strategik, pengurusan pinjaman, pasaran kewangan, dan sains aktuari.

Ahmad Badri juga menganggotai beberapa lembaga pengarah termasuk Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), dan Tenaga Nasional Berhad.

KWSP juga mengumumkan persaraan Tan Sri Azman Shah Haron, yang menganggotai Lembaga KWSP sebagai wakil majikan sejak tahun 2007.

KWSP berkata Azman merupakan presiden Persekutuan Majikan Malaysia dan adalah ahli Lembaga Pengarah pelbagai syarikat, termasuk Alangka-Suka Hotels dan Resorts Bhd, serta anak syarikat Advance Synergy Bhd, termasuk Cherating Holiday Villa Bhd.

Sementara itu Boustead Holdings Bhd (Boustead) melantik naib presiden Umno, Datuk Seri  Mohamed Khaled Nordin sebagai pengerusi bukan bebas dan bukan eksekutif syarikat tersebut berkuat kuasa 1 Mei 2020.

Boustead dalam satu kenyataan hari ini berkata, Khaled sebelum ini pernah berkhidmat sebagai menteri besar Johor dari 2013 hingga 2018 dan di bawah kepimpinannya, negeri itu menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang stabil.

Khaled juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi Johor Corporation Bhd dan kumpulan itu berjaya melaksanakan beberapa langkah penyusunan semula dan pemulihan sepanjang tempoh beliau bertugas.

Sebelum memegang jawatannya sebagai menteri besar, Khaled pernah berkhidmat di pelbagai kementerian seperti Kementerian Pengajian Tinggi (2008 sehingga 2013), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (2004 sehingga 2008) dan sebagai timbalan menteri Kerja Raya (1990 hingga 2004).

Mohamed Khaled, yang memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) dari Universiti Malaya, adalah penama pemegang saham terbesar Boustead, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Pengarah urusan Boustead, Amrin Awaluddin berkata, pengalaman luas Mohamed Khaled pasti akan mengukuhkan lembaga pengarahnya, menerajui Boustead untuk meningkatkan cara menjalankan perniagaan serta prospek dalam jangka masa panjang.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.