11 ditahan ingkar PKP tunaikan solat tarawih

42

1 MEI: Polis menahan 11 lelaki termasuk seorang pelajar tahfiz kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menunaikan solat sunat tarawih berjemaah.

Mereka berkumpul di sebuah surau di Kampung Binsulok, Membakut, Beaufort, malam ini.Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak, berkata semua suspek berusia 15 hingga 41 itu ditahan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort, ketika melaksanakan pemantauan PKP Op COVID-19.

Katanya, tangkapan itu susulan tular satu keping gambar mereka sedang menunaikan solat berjemaah melalui aplikasi WhatsApp sehingga menimbulkan rasa kurang senang dan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis menuju ke lokasi kejadian dan mencari semula semua individu yang terbabit seperti dalam gambar yang tular itu.

“Hasilnya menahan 11 orang daripada 14 orang jemaah yang solat isyak dan tarawih di surau berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, soal siasat terhadap semua suspek, mendapati mereka mengetahui pelaksanaan PKP dan menyedari tindakan itu salah di sisi undang-undang kerana sengaja berhimpun.

Kes disiasat mengikut Peraturan 6(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan Tempatan) (No.4) 2020.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.