Kerajaan klasifikasi pelarian Rohingya sebagai Pendatang Tanpa Izin

199

30 APRIL: Kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian etnik Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI) yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Ini disebabkan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata kerajaan bagaimanapun membenarkan mereka untuk tinggal sementara di negara ini, atas dasar kemanusiaan sebelum ditempatkan di negara ketiga oleh UNHCR.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil maklum kegusaran orang awam yang timbul berhubung pemegang kad UNHCR daripada etnik Rohingya.

HAMZAH ZAINUDDIN

“Sehingga Mac lalu, terdapat seramai 179,521 pemegang kad UNHCR yang tinggal secara sementara di Malaysia. Daripada jumlah itu, 56.6 peratus atau 101,584 orang daripada etnik Rohingya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu Hamzah berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) tidak pernah mendaftarkan mana-mana pertubuhan atas nama Rohingya di Malaysia.

Sehubungan itu tegasnya, mana-mana pertubuhan yang mewakili etnik Rohingya di Malaysia adalah tidak sah mengikut Akta Pertubuhan 1966.

“Oleh yang demikian, pemegang kad UNHCR daripada etnik Rohingya tidak mempunyai sebarang status, hak dan asas untuk mengemuka sebarang tuntutan kepada kerajaan.

“Sebarang tindakan pemegang kad UNHCR yang mengganggu-gugat ketenteraman awam dan bertentangan dengan undang-undang negara, tidak akan terlepas daripada tindakan,” katanya.

Hamzah turut mengingatkan bahawa PATI yang memegang kad UNHCR di Malaysia  supaya terus menghormati dan mematuhi undang-undang di negara ini,” katanya.

Mengenai tindakan pihak berkuasa Malaysia tidak membenarkan bot membawa etnik Rohingya memasuki kawasan perairan negara, Hamzah menegaskan langkah itu berlandaskan undang-undang bagi menjaga kedaulatan sempadan negara daripada diceroboh.

Bagaimanapun, beliau berkata, atas dasar kemanusiaan, pihak berkuasa negara mengagihkan bekalan makanan sebelum mengiringi bot terbabit keluar daripada perairan negara.

Katanya, tindakan memperketatkan sempadan termasuk lorong-lorong tikus bagi menghalang pencerobohan PATI, selari dengan langkah kerajaan menutup pintu masuk negara kepada warga asing bagi memutuskan rantaian COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.