Isteri berbelanja, suami tunggu dalam kenderaan

138

30 APRIL : Meskipun kerajaan membenarkan dua orang wakil keluarga keluar  membeli barang keperluan, tetapi hanya seorang sahaja dinasihatkan untuk memasuki kedai atau pasaraya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bagi mengelakkan kesesakan dalam pasaraya dan mematuhi penjarakan social ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4.  

“Apabila kerajaan menetapkan satu individu dalam satu kenderaan pada fasa PKP sebelumnya, kita menerima banyak maklum balas antaranya isteri tidak boleh memandu dan masalah tempat letak kereta.

“Ketika ini, kita pertimbangkan disebabkan COVID-19 dilihat menurun namun saya percaya ramai yang dibenarkan keluar akan mengekalkan penjarakan sosial

“Apabila ke pasar raya, suami mungkin boleh menunggu di dalam kereta untuk mengelakkan kesesakan dan beratur lebih panjang,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu katanya,  seramai 3,194 pelajar universiti membabitkan Zon Timur, Selatan, Perak dan Sarawak akan dihantar pulang hari ini.

Katanya bagi Zon Timur, seramai 1,029 pelajar akan dihantar pulang bermula jam 9 malam.

“Mereka akan bergerak dari 23 lokasi ke 31 destinasi menggunakan 80 bas dan 73 kenderaan persendirian.

“Bagi Zon Perak, seramai 519 pelajar dihantar pulang pada jam 9 pagi dan dijangka tiba pada jam 5 petang menggunakan 52 bas.

“Zon Sarawak pula membabitkan 280 pelajar, manakala Zon Selatan sebanyak 1,366 pelajar pada malam ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.