COVID-19 diramal berakhir antara Jun hingga September

145


SIDANG akhbar yang diadakan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah semalam mengumumkan jumlah terkini pesakit positif koronavirus (COVID-19) di negara ini jauh lebih rendah daripada yang diunjurkan oleh JP Morgan.

Kenyataan Dr. Hisham itu mungkin memberikan sedikit kelegaan banyak pihak selain memberi gambaran positif terhadap keupayaan Malaysia menangani virus tersebut ketika dianggarkan telah meragut 228,252 nyawa penduduk dunia dan tiada vaksin untuk merawat jangkitan wabak itu ketika ini.

Berdasarkan unjuran institusi itu, kes jangkitan COVID-19 di Malaysia dijangka memuncak sekitar 6,300 kes pada pertengahan April.

Namun angka tersebut hanyalah unjuran yang biasanya dianggap sebagai simulasi bagi menilai situasi, merancang serta membuat keputusan untuk masa depan. Tidak ada salah mengenainya.  

Bagaimanapun, secara faktanya situasi COVID-19 di Malaysia setakat hari ini memperlihatkan jumlah kes kumulatif direkodkan sebanyak 6,002 kes termasuk 2 kes kematian manakala 4,171 lagi adalah kes pulih.  

Namun, hakikat sama ada tinggi atau rendah angka kes COVID-19 tidak sewajarnya menjadi perdebatan sehingga kita terlupa akan fokus utama bagaimana untuk memutuskan rantaian penyebaran virus ini daripada terus menjangkiti manusia.

Ini kerana, sikit atau besar bilangan kes yang direkodkan, ia tetap dikira ancaman kepada kesihatan dan nyawa umat manusia.

Ancaman ini dianggap tetap berterusan selagi adanya kes-kes baharu.

Memanglah semua pihak mahu wabak ini berakhir dan semua orang kembali melakukan aktiviti seperti biasa.

Bagaimanapun, melihat situasi  di seluruh dunia ketika ini nampaknya perkara itu seolah-olah sukar untuk ditentukan.

Di Amerika Syarikat sebagai contoh, kes jangkitan yang direkodkan di negara itu setakat 29 April 2020 adalah sebanyak 1.06 juta kes dengan 61,669 kes kematian manakala 147,411 kes sembuh.

Sementara itu di Sepanyol, negara itu mencatatkan 24,275 kes kematian daripada bilangan keseluruhan jangkitan sebanyak 236,899 kes.

Bilangan kes yang direkodkan tertinggi di dunia itu termasuk di Itali yang mencatatkan jumlah kes jangkitan keseluruhan sebanyak 203,691 dengan 27,682 kes kematian.

Melihat daripada bilangan kes tersebut, timbul persoalan bilakah wabak COVID-19 ini akan berakhir?

Persoalan ini agak menarik untuk dikupas. Namun jawapan sama ada bila tempoh sebenar wabak COVID-19 ini tamat ianya masih dianggap bersifat hipotetikal.

Demikianlah juga apabila Singapore University of Technology & Design (SUTD) mendedahkan kajian pemantauan prediktif yang meramalkan penularan wabak COVID-19 di beberapa negara dunia dijangka berakhir di antara bulan Jun hingga September 2020.

Malah, kajian yang berasaskan kepada kepada model SIR (Susceptible-Infected-Recovered) itu turut meramalkan Malaysia dijangka akan pulih daripada penularan Covid-19 pada tahap 97 peratus pada 6 Mei 2020 manakala pemulihan sepenuhnya pada kadar 100 peratus adalah pada 8 Julai 2020.

Penulis tidak mahu membesar-besarkan ramalan yang dijana dari data makmal inovasi SUTD itu. Bagaimanapun, penulis tetap optimis bahawa negara mampu menangani penularan wabak Covid-19 ini secara sistematik.

Malah, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat yang bermula semalam mungkin boleh diharapkan sebagai fasa terakhir yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Setakat semalam, tiga negeri telah dikelaskan sebagai zon hijau iaitu Perlis, Kedah dan Kelantan tanpa adanya pertambahan kes-kes jangkitan baharu. Untuk memastikan Malaysia bebas daripada COVID-19, semua negeri mesti dikategorikan dalam zon hijau.

Kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk mengekang wabak ini termasuk memperketatkan kawalan sempadan dan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dalam membenarkan pihak industri beroperasi.

Bagaimanapun, kelonggaran yang diberikan kerajaan itu kalau diikutkan sebenarnya berisiko tinggi, namun ia tetap dilakukan bagi kelangsungan ekonomi rakyat dan negara. Maka penting bagi semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan tiada penularan baharu jangkitan COVID-19. – OLEH YAZID ALIAS

Get real time updates directly on you device, subscribe now.