Rugi Kalau Kontraktor Tempatan Tidak Rebut Peluang Projek ECRL

48

19 APR: Kontraktor tempatan termasuk bumiputera perlu merebut peluang terutama dalam kerja-kerja awam seperti pembekalan dan aspek teknikal projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Wakil Khas Perdana Menteri dalam rundingan semula projek ECRL bersama kerajaan China, Tun Daim Zainuddin berkata, peluang itu hasil rundingan semula pada 12 April lalu.

Katanya, peluang ini perlu direbut kontraktor tempatan kerana terlalu banyak pakej menarik yang ditawarkan dalam projek itu dan menjadi kerugian jika ia dilepaskan begitu sahaja.

“Jika tiada keupayaan, kena kerjasama erat dengan pakar asing kerana terlalu banyak pakej ditawarkan. Malah tidak mustahil, penglibatan mereka akan lebih daripada 40 peratus jika kolaborasi itu berjaya. Saya nampak, mungkin dari sudut pembekalan dan teknikal. Jadi mereka ini perlu bersedia.

“Mereka perlu pergi berbincang dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), tunjuk kepakaran dan perkhidmatan yang boleh ditawarkan. Ini tender antarabangsa, kena produktif, jangan tunggu peluang datang bergolek, jangan tunggu orang panggil, jangan kritik tanpa fakta, orang meniaga kena bergerak.

“Datang jumpa saya jika malu, saya akan bantu jika mereka betul-betul layak. Jangan mengharapkan kerajaan untuk datang kepada anda, anda sendiri yang perlu bersedia dan berjumpa dengan pemain industri,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di pejabatnya.

Projek ECRL dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini dan digantung tahun lepas oleh kerajaan Pakatan Harapan berikutan membabitkan kos yang tinggi.

Pada 12 April, MRL dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) yang membolehkan projek ECRL yang ditangguhkan, disambung semula.

Di bawah perjanjian baharu, kos pembinaan bagi Fasa 1 dan 2 ECRL akan disambung semula dengan harga RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada unjuran asal sebanyak RM65.5 bilion. Ia akan meliputi jajaran baharu dengan jarak landasan dikurangkan sebanyak 40 kilometer selain pengurangan kos daripada RM98 juta kepada RM68 juta bagi setiap kilometer.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.