Menteri Kabinet ‘Diam Tetapi Berisi’ Ketika PKP

58

25 APRIL: Perdana Menteri menafikan Menteri Kabinet berehat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi mengawal penularan COVID-19.

Sebaliknya tegas Tan Sri Muhyiddin Yassin, semua Jemaah Menteri tetap menjalankan tugas dan kerja masing-masing sambil dipantau oleh beliau sendiri.

“Maka, (mereka) bukan diam. Diam tetapi berisi. Ada tugas yang harus mereka jalankan. Saya memantau perjalanan tiap-tiap menteri.

“Akan tetapi mungkin dalam keadaan sekarang ini (PKP), tak banyak kenyataan yang dikeluarkan, maka orang kata ‘oh menteri tak kerja’, walhal menteri bekerja,” katanya dalam rancangan Temubual Khas bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Astro Awani yang disiarkan malam tadi.

Perdana Menteri mengakui dalam usaha kerajaan mengawal penularan COVID-19, beliau sengaja mengarahkan Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjadi ‘suara kerajaan’ dalam isu membabitkan COVID-19.

Katanya, beliau mahu menteri dan rakyat tahu, fokus kerajaan ketika ini adalah menangani segala isu berkaitan wabak COVID-19.

“Jadi tidak ada terganggu oleh kerana banyaknya jurubicara. Itu sengaja saya buat, supaya tak terganggu. Tapi tidak bermakna menteri tak menjalankan tugas,” katanya.

Muhyiddin turut berkata, walaupun ada menteri yang berehat ketika PKP, mereka tetap diarahkan turun ke pejabat untuk bekerja bagi mengelak banyak kerja tertangguh apabila PKP ditamatkan kelak.

“Tapi saya dah keluarkan arahan mesti ada kerja yang harus dilaksanakan, mereka harus datang ke pejabat.

“Dalam keterbatasan PKP pun mereka harus menjalankan tugas, kerana saya peringatkan jangan lepas ini bila dah buka (tamat) PKP, maka ‘backlog’ (kerja tertangguh). Tanggungan kerja itu bertimbun-timbun kerana hampir sebulan dua tidak bekerja,” katanya.

Muhyiddin menambah, arahan untuk turun bertugas seperti biasa turut membabitkan pegawai kerajaan yang disampaikan menerusi Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Perdana Menteri turut menegaskan, dalam tempoh dua bulan ini Jemaah Menteri tidak menerima gaji kerana disumbangkan semula kepada kerajaan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, dalam situasi PKP, rakyat mesti membuat sesuatu yang boleh menambahkan manfaat kepada kehidupan mereka dan anak-anak.

“Saya fikir dari sudut rakyat juga mereka faham, dalam situasi apa sekali pun, mereka mesti pastikan supaya ada upaya, daya tahan dan bekerja seperti biasa, malah dalam keadaan terperangkap dalam rumah sendiri, ada perkara tertentu yang boleh mereka manfaatkan.

“Saya lihat ini dalam banyak siaran, video dan berita yang saya terima, itu dah mula diterima sebagai satu perkara yang agak biasa oleh sebahagian besar warga kita,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.