Ketua Jabatan Diberi Kuasa Menilai Pemberian Elaun Petugas Kesihatan

26

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat prihatin dan sentiasa mengambil perhatian mengenai pandangan daripada banyak pihak yang diterima menerusi pelbagai saluran termasuk media sosial.

Terkini, ada yang memberi pandangan agar KKM meneliti semula pelaksanaan pemberian elaun khas petugas Kesihatan dalam menangani dan membendung penularan COVID-19, khususnya bagi memudahcarakan proses pemberian dan syarat kelayakan elaun khas ini kepada pegawai dan anggota kesihatan tertentu yang lain.

Ini kerana pada masa ini, terdapat perbezaan dari segi penentuan pegawai yang layak menerima elaun khas ini di peringkat fasiliti kesihatan di seluruh negara.

KKM amat berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin demi memastikan KKM terus fokus, pegawai dan anggota kesihatan kekal teguh serta saling menyokong antara satu sama lain dalam usaha menangani dan membendung penularan wabak COVID-19.

Sehubungan dengan itu, demi menghargai pengorbanan dan komitmen tidak berbelah bahagi oleh pegawai dan anggota kesihatan yang terlibat, KKM memutuskan untuk mempermudahkan lagi pemberian elaun khas ini dengan menurunkan kuasa kepada Ketua Jabatan untuk menilai secara lebih menyeluruh.

Langkah penambahbaikan tersebut akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

DATO’ SRI DR. ADHAM BABA

18 April 2020

Get real time updates directly on you device, subscribe now.