Pengamal Perubatan Swasta Dialu-alukan Bantu KKM

81

21 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengalu-alukan penyertaan pengamal perubatan swasta untuk memberikan perkhidmatan dalam usaha menangani dan membendung penularan wabak COVID-19.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pihak berkenaan boleh memberikan perkhidmatan kepada pesakit sama ada dari atau di fasiliti kesihatan KKM dan di penempatan tertentu yang lain mengikut lokaliti terdekat dengan lokasi pengamal perubatan yang berkenaan.

“KKM menghargai keprihatinan pelbagai pihak yang menyatakan kesediaan untuk bersama  mengharungi tempoh mencabar ini khususnya dalam usaha menangani dan membendung penularan wabak COVID-19.

“Antara pihak yang menyatakan komitmen tersebut ialah pengamal perubatan swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Adham berkata, keputusan itu selaras dengan semangat kolaboratif, kesukarelawanan dan usaha mengeratkan lagi kerjasama antara awam dengan swasta.

Kerajaan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) menawarkan bayaran perkhidmatan sebagai penghargaan ke atas sumbangan yang diberikan dalam waktu pandemik COVID-19 ini.

Pautan khas disediakan dalam Portal KKM (http://www.moh.gov.my) bagi memudahcara pengamal perubatan swasta yang berminat untuk mendaftar penyertaan mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.