Keluarga, Individu ‘Sangkut’ Sejak PKP Boleh Hubungi Polis Untuk Pulang

19

22 APRIL: Kerajaan sedang membuat kajian dan mengumpul maklumat bagi membolehkan individu atau keluarga yang ‘sangkut’ di kampung atau tempat kerja boleh pulang ke kediaman masing-masing.

Mereka terbabit yang ingin pulang perlu membuat permohonan dan pendaftaran kepada polis berdekatan mula 25 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata permohonan itu juga boleh dibuat melalui dalam talian selepas tarikh tersebut melalui aplikasi disediakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) serta PDRM

“Mereka boleh mula melaporkan kepada polis melalui online, iaitu melalui aplikasi GerakMalaysia yang mana ini kolaborasi antara polis dan KKMM mulai 25 April nanti.

“Bagi mereka yang tiada kemudahan telefon pintar dan sebagainya, permohonan boleh dibuat di balai polis berhampiran namun perlu membuat temu janji terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan di balai polis,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, kata Ismail Sabri, kebenaran untuk membenarkan mereka pulang masih di peringkat kajian dengan nasihat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta perlu mematuhi peraturan ditetapkan.

Katanya, setiap keluarga wajib mendaftar dan membuat permohonan bagi membolehkan pihak berkuasa membuat perancangan.

“Mereka yang mendaftar perlu mengemukakan nama, berapa jumlah ahli keluarga dan lokasi tempat untuk ditujui, dari kampung mana, zon merah atau hijau dan sebagainya,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu setiap permohonan dan jika dibenarkan, pergerakan dijangka bermula 1 Mei ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.